Tuesday, April 23, 2013



SELASA, 9 APRIL 2013


Keindahan Cinta...


Duhai anakandaku yang tercinta 
bersemadi lah dengan tenang 
dalam Dunia Kebenaran 
disebalik tanah yang menutup 

Disana engkau akan terbangun 
dari mimpi yang menyakitimu 
hingga engkau tersenyum indah 
melihat betapa Cinta Allah dan Rasul padamu 

Tiada lagi airmata 
Tiada lagi keletihan 
Tiada lagi keterikatan 
Tiada lagi kebimbangan… 

Disana penuh kegembiraan 
Penuh dengan kerehatan 
Penuh dengan kebebasan 
Penuh dengan ketenangan… 

Kematian adalah kenikmatan 
bagi para Kekasih Allah 
ia adalah pintu yang membuka 
melihat kebenaran hadrat Allah.. 

Senyumlah duhai anakandaku 
kesabaran dan ketabahanmu 
kini dibayar Allah walau satu zarah 
segalanya engkau mengerti 
betapa Cintanya Allah padamu 
disebalik kesusahan yang engkau tempuhi selama ini 

Ayahanda di dunia ini yang cemburu 
melihat impian mu ditunaikan Allah 
melihat diri mu kini bersama Rasulullah 
melihat diri mu kini bersama moyang 
melihat dirimu berlari gembira di Taman Nan Indah... 

Bersemadilah dengan tenang duhai permata Ayahanda 
urusan duniamu sudah selesai 
kami yang hidup akan memikulnya 
demi mencapai Cinta Allah dan Rasul 
agar dapat mengikuti jejakmu yang penuh ketabahan... 

Maafkan lah Ayahanda duhai anakanda 
kerana tiada mampu untuk memberi perhatian padamu 
moga anakanda akan mendoakan kebaikan 
pada Ayahanda dan semua keluarga di alam penipuan ini...


Bicara Cinta seterusnya..

    Monday, October 29, 2012

    Berbicara dengan mu, wahai Suami & Isteri.....

    Ingatan buat kita yang bergelar Suami & Isteri....
     Peranan yang dipikulkan Allah ke atas bahu kita, yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita ketika Baginda  SAW berada di ambang kewafatan. Ia merupakan wasiat terakhir yang paling berharga pernah diungkapkan oleh orang yang berwasiat.
    Buat Suami....

    Allah  yang memiliki kebesaran berpesan kepada kamu supaya menjadikan hubungan kamu dengan isteri kamu bertunjangkan mawaddah dan rahmat, dibaluti kesedaran akan masuliah (pertanggungjawaban). Maka kamu adalah pengemudi bahtera keluarga. Kepimpinan kamu adalah kepimpinan yang berupa pertanggungjawaban, bukan penghormatan. Allah berpesan supaya kamu jangan lupa kerana jika kamu lupa, kamu akan dilupakan. “… dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” (Al-Baqrah:237). Al-fadhl ialah kamu memberi lebih banyak daripada kamu meminta, kamu mengambil hak kamu lebih sedikit daripada yang sepatutunya.

    Dia berkata kepada kamu, bahawa kamu melindungi isteri, anak-anak daripada kemudaratan dan perkara yang membahayakan sama ada dari aspek kebendaan dan maknawi, juga usaha kamu membawa manfaat kebendaan dan maknawi kapada mereka merupakan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu kamu sejak mula dijadikan ayah kamu Adam dan ibu kamu Hawa sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” (Ta Ha:117)

    Dan Nabi  Musa a.s. telah merealisasikannya secara amali, sebagai mematuhi tuntutan Ilahi yang penuh dengan hikmah yang sangat mendalam maknanya “Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: Penunjuk jalan.” (Ta Ha:10). Ayat ini mahu menyampaikan bahawa  Nabi Musa a.s. sealah-olah berkata kepada keluarganya: kamu tunggu di sini! Aku akan meninjau keadaan sekitar untuk mengelakkan kamu daripada bahaya dan perkara yang memudaratkan. Dan aku akan bawa kepada kamu perkara yang bermanfaat dari segi maddi dan maknawi.

    Dan Allah juga telah menjadikan ikatan hubungan suami isteri ini dengan aqad yang kukuh yang diikat sendiri oleh kamu. Kamulah yang wajib memeliharanya. Allah akan menghisab kamu faktor-faktor yang menjadi ikatan itu kekal kukuh atau terburai “Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (an-Nisaa’:21)

    Adapun kesalahan wanita atau keaiban mereka, ia seumpama keaiban kamu dan kesalahan kamu. Kedua-dua kamu perlukan kesabaran untuk merawatnya. Namun tali kekangannya tetap berada di tangan kamu agar kapal ini hanya dikemudikan oleh seorang individu sahaja. Urusan keluarga bukan tempat untuk berebut kuasa atau beradu tenaga untuk jadi ketua sabagaimana yang cuba dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan musuh-musuh kemanusiaan untuk mencarikkan ikatan yang suci ini. Mereka cuba menyalakan api pertentangan antara lelaki dan perempuan dengan mengunakan setengah kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian suami dan mengaitkan kesalahan itu dengan sistem Islam, syariah rabbaniah yang telah meletakkan tanggungjawab kepimpinan di bahu lelaki, semua lelaki ke atas semua wanita, demi memelihara kesejahteraan masyarakat.

    Sesungguhnya al-Quran telah menyatakan dengan ringkas dan padat semua sistem-sistem yang diperlukan oleh manusia. Semua itu tersimpul di dalam beberapa ayat yang sangat ringkas. “Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang; Demi Yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina); (Maksud al-Lail:1-3)

    Malam dan siang, lelaki dan perempuan, saling bergandingan, lengkap melengkapi. Bukan berebut dan bersaing. Tiada kelebihan yang satu ke atas yang lain kecuali dengan melaksanakan peranan masing-masing.

    Sebagai contoh, lihat isteri Firaun. Firaun mendakwa dirinya sebagai tuhan. Namun dakwaan itu sedikitpun tidak menjejaskan iman isterinya. Sebaliknya dua orang wanita lain yang menjadi isteri kepada dua orang nabi yang mulia, tidak mendapat apa-apa kelebihan di sisi Allah di sebabkan keingkaran mereka. Dan Maryam pula, seorang wanita solihah yang tidak bersuami. Jadi setiap individu mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah. Ia dihisab secara berasingan daripada pasangan masing-masing. Setiap orang mempunyai masuliah fardiah yang tidak boleh dipikul oleh orang lain.


    Ketika Nabi s.a.w. menyebut bahawa wanita seperti tulang rusuk yang bengkok, itu tidak bermakna keaiban bagi wanita kerana wanita tidak menciptakan dirinya sendiri. Dari sisi lain kita dapati tulang rusuk yang bengkok itulah sebenarnya bentuk yang paling baik dan paling ideal. Kalaulah tidak kerana tulang rusuk itu bengkok, jantung tidak akan berada dalam keadaan yang selesa dan tidak akan dapat menjalankan fungsinya membekalkan darah ke seluruh anggota. Sepasang paru-paru juga begitu. Jika tulang rusuk tidak bengkok, seluruh tubuh tidak dapat bernafas, insan tidak akan hidup sihat dan sejahtera, tidak akan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya.


    Justeru, Allah Azza wa Jalla berkata, ketika kamu tidak suka kepada sesuatu perkara yang ada pada isteri kamu – kesempurnaan itu hanyalah milik Allah jua - kamu juga tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Dalam kontek ini Allah berfirman maksudnya: “
    … Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’:19)

    Rasulullah s.a.w. pula telah menghuraikan perkara ini dengan terperinci dan praktikal yang kamu boleh laksanakan dengan segera. Kamu yang mesti laksanakan, bukan dia (isteri kamu) kerana kamu adalah pengemudi, kamu yang bertanggungjawab. Baginda bersabda maksudnya:
    “Janganlah seorang mu’min itu (suami) membenci seorang mu’minah (isterinya) kerana boleh jadi dia tidak suka pada sesuatu perangainya, dia suka perangainya yang lain”. Maksudnya di sini, jika kamu melihat sesuatu yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip iman, maka kamu mesti mengubah mood kamu sendiri, sehingga kamu dapat melihat dan mengiktiraf kelebihannya dari aspek yang lain yang pastinya terlalu banyak yang kamu sukai. Maka dengan itu perasaan benci dengan segera akan bertukar menjadi sayang.

    Janganlah  diambil sedikitpun daripada hartanya tanpa izinnya dan jangan halang dia berbuat baik kepada keluarganya mengikut sukanya. Jika kamu berbuat demikian maka hisab kamu di sisi Allah amat sukar. Allah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Nya dan menjadikan kezaliman itu haram ke atas sesama hamba-Nya.

    Jadilah kamu orang yang sentiasa setia kepada isteri kamu kerana Rasulullah s.a.w. sentiasa setia kepada isterinya Khadijah r.a., kesetiaan yang sungguh indah sehingga selepas Khadijah meninggal dunia. Ia menjadi contoh bagi seluruh umat manusia.
    Begitu juga Baginda tidak menyembunyikan perasaan cintanya kepada Aishah r.a. ketika baginda ditanya siapakah manusia yang paling baginda cintai. Maka dengan spontan baginda menjawab dengan terang dan tegas: “Aishah!” . Lalu sahabat berkata bahawa mereka bukan tanya tentang wanita, dan sekali lagi baginda menjawab: “Ayahnya!”. Baginda tidak berkata “Abu Bakar”, sebaliknya berkata: “Ayahnya”. Ia memberikan gambaran hubungan mesra dan intim antara baginda dan Aishah dan secara tidak langsung menggambarkan kedudukan Abu Bakar di sisi baginda.
     Ada ungkapan yang lebih indah daripada ini bagi menggambarkan rasa cinta seorang suami kepada isterinya? Ungkapan yang begitu tulus lahir dari bibir suami pastinya mampu memadam apa-apa kesilapan dan perselisihan antara kamu berdua.

    Seandainya masalah yang kamu hadapi, na’uzubillah, sudah sampai ke tahap bercerai, dan cerai adalah perkara halal yang paling dibenci Allah, isteri yang diceraikan itu berhak tinggal di rumah kamu, hak yang ditentukan sendiri oleh Allah, agar dengan keberadaannya di rumah itu, hati kamu dan hatinya akan jadi lembut, dan perselisihan yang berlaku sebelumnya akan lebur.

    Dalam keadaan yang begitu genting sekalipun, Allah tetap menghendaki kamu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Perhatikan ayat-ayat berkaitan dengan talaq, kebanyakannya dibasahi dengan ciri-ciri kelembutan dan kebajikan. Lihat surah at-Talaq ayat 1 hingga 3.

    Akhirnya jangan kamu lupa wasiat perpisahan Rasullullah s.a.w.
    “Hendaklah kamu berpesan agar berbuat baik kepada wanita…”. Sungguh mengkagumkan, wasiat ini digandingkan dengan wasiat supaya menjaga solat. Tidakkah kita rasa bahawa ia merupakan suatu perkara yang sangat penting?

    Justeru, wahai para suami, di manapun kamu dan dalam keadaan apapun, maka setia dan setialah kepada isteri kamu! Berbuat baik dan berbuat baiklah kepada isteri kamu! Beri perhatian dan beri perhatianlah kepada perasaan isteri kamu! Berbakti dan berbaktilah kepada keluarga isteri kamu!

    Bantu dan bantulah isteri kamu untuk berbakti kepada keluarganya. Bawalah isteri kamu memikul bersama kamu beban keluarga dan beban dakwah. Jadikan dia sandaran belakang kamu supaya dia dapat berjalan seiring kamu sambil membawa risalah dakwah yang diwajibkan Allah ke atas kamu.

    Awas dan awas daripada mengambil hartanya tanpa kerelaannya. Adapun jika dia rela, Allah telah jelaskan hukumnya di dalam firmanNya yang bermaksud: “…
    Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya." (An-Nisaa’:4)

    Ingat neraka dan neraka! Selamatkan isteri kamu darinya. “
    Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka…”
    (At-Tahrim:6)

    Ingat syurga dan syurga. Bawalah dia bersama kamu serta anak-anaknya. “Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin.” (Ya Sin:56)


    Akhirnya, Rasulullah s.a.w. menamakan kamu suami yang mulia (zauj karim) selama kamu melaksanakan wasiatnya yang bermaksudnya: “
    Tidak memuliakan wanita kecuali orang (suami) yang mulia, dan tidak menghina wanita kecuali orang yang tercela!”. Maka jadilah kamu wahai saudaraku suami muslim yang mulia. Semoga Allah berkati kamu pada isteri kamu, harta kamu dan anak-anak kamu. Semoga Allah rahmati ibu bapa kamu dan ibu bapa isteri kamu sama ada mereka masih hidup di dunia ini atau telah berpindah ke alam abadi. Semoga Allah himpunkan kamu berdua dalam kebaikan dunia dan akhirat. Semoga Allah berkati zuriat kamu berdua.
    Buat para isteri,  satu Hadis yang menjamin pahala untuk mereka, iaitu seorang wanita yang melayan suami dengan baik pahalanya menyamai jihad, solat jamaah, solat jumaat dan mengiringi jenazah. Dan redanya kamu kepada mereka merupakan pintu untuk mereka masuk syurga.

    Tuesday, October 9, 2012

    Apakah Bahagia itu ?

     Seorang gadis bertanya...........

    “Wahai Bonda.....apakah itu bahagia?
     Adakah gembira itu tandanya bahagia, sedang duka itu tandanya sengsara?”
     Bonda itu lantas menjawab,


    Ya anakanda...tanyalah pada hatimu..
     Bahagia itu ada pada hati yang lapang....
     Hati yang lapang itu pula umpama air lautan yang luas, sedang hati yang  sempit umpama air di dalam segelas balang..
    Cuba renungkan..
    Andai setitis najis dimasukkan ke dalam segelas balang yang menakung air itu, apa akan terjadi? Giliran Bonda itu bertanya.

    “"Oh, pastinya air di dalam balang itu juga akan bertukar menjadi najis”    Jawab gadis itu.
    " Nah anakku...benar katamu, sedang setitis najis tadi tidak akan sedikit pun mempengaruhi air samudera lautan yang luas.
    Anakanda…begitulah bahagia yang kau cari. Bahagia itu ada pada hati yang luas. Sedikit masalah tidak akan membuat hatimu jadi gundah ..Sedang hati yang sempit tempat menyimpan penyakit. Secebis masalah yang menimpanya sudah cukup membuatkan fikirannya terbeban. Jiwa dan akalnya bisa jadi tak keruan.Lapangkan hatimu,nescaya disana akan kau temui bahagia”

    Gadis itu mengangguk–angguk. Matanya bercahaya.

    “ Apabila hati menjadi lapang, suka dan duka tetap akan membahagiakanmu kerna kedua-dua itu datangnya dari Tuhan-Mu”

    Guru itu akhirnya merangkul bahu anak muridnya dan berkata.

    “ Anakku.. Masukkan yang besar-besar di dalam hatimu supaya ia bisa luas dan lapang”

    “ Apakah yang besar itu wahai guruku yang mulia?”

    Guru itu tersenyum sambil menjawab:

    “MASUKKAN ALLAH KE DALAM HATIMU.”

    KETETAPAN ILAHI...

    Dalam perjalanan hidup seorang hamba menujuNya, pasti ujian dariNya adalah suatu yang lumrah dan kadang – kadang dalam perjalanan kita bermujahadah untuk memahami makna CintaNYA, kita diuji dengan istilah cinta murahan, yang mana kadang – kadang dibaluti nafsu dunia, yang juga terkadang sesetengahnya makin menjauhkan kita sedikit demi sedikit dari mujahadah asal untuk mencari erti cintaNYA..

    Memang susah untuk mendidik hati, untuk suka apa sahaja yang Allah suka dan benci pada segalanya yang Dia benci kerana kadang - kadang nafsu dulu yang berbicara sebelum iman.
    Andai kita yakin, setiap apa yang berlaku, Qadha dan Qadar ke atas diri kita adalah suatu bentuk interaksi cinta, dari Pencipta kepada hamba, pasti kita menerima pemberianNya dengan ekspresi cinta juga yakni dengan penuh redha.

    Hakikatnya, segala ketetapan Dialah yang sempurna buat kita kerana ia datangnya dari Yang Maha Sempurna. Pasti pemberian Allah itu tiada cacat celanya. Relakanlah, Allah pilihkan apa saja untuk kita, walau pilihan Allah mungkin tak seperti keinginan di hati, Namun pasti disana ada Rahsia Illahi yang tersembunyi, yang kita tidak tahu dan pasti tersirat hikmah yang terlalu banyak . Bukankah kita ini memang manusia yang terlalu banyak jahil dan tidak tahu? Apa yang tersembunyi sedikit dari penglihatan mata kita saja kita sudah tidak dapat meneka nya? Justeru, kenapa sewenangnya orang yang kecewa dengan Allah berkata “ Allah tak tahu perasaan hatiku...” atau “ Tuhan.. tidakkah Kau tahu itu yang terbaik buatku ?

    Jika diteliti, beriman kepada Qadha dan Qadar adalah merupakan satu bahagian yang sangat penting daripada Aqidah Islamiah. Sememangnya Allah SWT mempunyai pengetahuan mengenai segala makhluq semenjak azali lagi dan Dialah yang menghendaki kewujudannya. Dialah yang menciptakan makhluq Nya berdasarkan apa yang telah Dia tentukan....

    Dan, barangsiapa yang beriman kepada Qadha dan Qadar, pastinya dia sedar bahawa segala pergantungan hanya semata – mata kepada Allah. Di sebalik sebarang musibah yang melanda, ada rahmat dari Nya. Itu adalah kehendakNya...

    Terimalah ketetapanNya Duhai Hati.....

    INSAN Yang Mulia...

    Oh Insan yang mulia
    Kembalilah ke jalan yang di redha
    Jangan selalu membesarkan
    dunia, Sayang
    Ingatkan Allah yang Maha Kuasa
    Ingat kan Allah ingatkan selalu sayang

    Janganlah lalai Allah berfirman
    Duhai Insan Janganlah kau lalai
    Membuat suruhan Tuhan Mu
    Jangan hanya membesarkan dunia sahaja
    Maka kau lupakan Tuhan yang memberi
    Nikmat padamu Ingat ya …..ingat

    Oh Insan yang Budiman,
    Janganlah membesarkan harta
    Miskin kaya, pandang sama saja Sayang
    Buruk cantik tiada bezanya
    Caci hina jangan kau amalkan sayang
    Nanti murka Tuhan mu Insan
    Ya jangan kau mencaci dan
    membezakan
    Antara satu dengan lain,
    Kalau kau membezakan dan mencaci
    Samalah juga engkau mencaci
    kebesaran Tuhan

    Sucikanlah hati mu, bersihkan
    Rohani Jasmani
    Takutlah kamu pada Tuhan sayang
    Kau tiada kekal hidup di dunia
    Akhirat juga akhir tempat kamu sayang
    Tak dapat dikau, tak dapat elakkan,.
    Janganlah kau mengotori Rohani
    Insan
    Tidakkah kau takut nanti, roh mu tak
    mengenal jasadmu
    Sampai di sini dengan nama Tuhan ku
    Syukur kepada Allah suci Tuhan….
    Hj Ayob Mohd Said

    Saturday, September 22, 2012

    NASH AKAN HAK-HAK YANG HARUS DIPEROLEHI AHLUL-BAIT

    NASH AKAN HAK-HAK YANG HARUS DIPEROLEHI AHLUL-BAIT

    by Ku Alam on Monday, 7 September 2009 at 16:49 ·
    Ahlul-bait mempunyai beberapa hak yang harus dipelihara dengan baik oleh umat Islam. Antaranya, hak ke atas harta ghanimah, hak diselawati, hak untuk dicintai, diutama dan dijaga hubungan silaturrahim dengan mereka.

    MEMPEROLEHI HARTA GHANIMAH

    Allah SWT telah menentukan hak untuk mereka sebanyak seperlima dari harta ghanimah (harta rampasan perang). Firman Allah SWT : “Ketahuilah, sesungguhnya, apa sahaja yang kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnu sabil”(Al-Anfal:41)

    Tiada perbezaan pendapat mengenai harta ghanimah pada Aal Muhammad SAW, iaitu ahlul-bait baginda, Ummuhatul Mukminin, serta kerabat baginda dari Bani Hasyim.
    Nash memperolehi hak selawat dari umat Islam

    NASH MEMPEROLEHI HAK SELAWAT DARI UMAT ISLAM

    Ahlul-bait juga memperolehi hak ucapan selawat dari umat Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, yang ertinya seperti berikut:” Ya Allah, limpahkan selawat untuk Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau limpahkan selawat untuk Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.Dan berkatilah Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

    (Kedudukan selawat ini ialah di belakang rukun tahiyyat akhir setiap solat).
    Pernyataan Rasulullah SAW dalam sepotong Hadeeth dari Imam Malik yang berasal dari Nu’aim Al-Mujmar, berbentuk seperti berikut: “Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada para isteri dan anak-cucu keturunan beliau.” Ibnu Abdil-Barr menunjuk kepada sebuah Hadeeth Ibnu Humaid As-Saidi yang antara lain dengan erti seperti berikut: ” Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada isteri-isterinya, dan kepada anak-cucu keturunannya.” Sebuah Hadeeth lain pula menyebut:” Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan Aal (Ahli-bait) Muhammad.” Maksud Hadeeth yang kedua ini menyimpulkan makna Hadeeth yang sebelumnya. Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah mengemukakan suatu Hadeeth lain yang menyentuh peringatan Rasulullah SAW kepada para sahabat baginda : “Janganlah kalian berselawat untukku dengan Selawat Batra.” Para sahabat bertanya “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan Selawat Batra?”. Baginda menjawab :”Kalian mengucapkan: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad, lalu kalian berhenti di situ! Ucapkanlah : Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan kepada Aal Muhammad.”

    Kesimpulannya, para Aal dan ahlul-bait Rasulullah SAW memperolehi hak untuk diselawati sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam dalam solat fardhu yang dikerjakan oleh umat Islam dimana sahaja mereka berada.

    NASH MENGENAI PENGHARAMAN MENGAMBIL ZAKAT OLEH AHLUL-BAIT.

    Ahlul-bait Rasulullah SAW juga diharamkan menerima sedeqah (termasuk zakat) yang disebut sebagai kotoran harta manusia.

    Dari Abdul Muthalib ibnu Rab’ah ibnul Khariif, katanya Rasulullah SAW telah bersabda : ” Sesungguhnya sedeqah itu berasal dari kotoran harta manusia dan ia tidak dihalalkan bagi Muhammad mahupun bagi keluarga Muhammad .” (HR Muslim)

    Tentang Hadeeth riwayat Muslim ini, Imam Nawawi memberikan penjelasan: “Kotoran manusia artinya ; zakat membersihkan harta dan jiwa mereka . `Allah Ta’aala berfirman : “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkaan dan mensucikan mereka.” (At-Taubah :103)
    Zakat adalah pencuci kotoran. Ahlul-bait diharamkan menerima zakat bagi membersihkan mereka dan meninggikan kedudukan mereka. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, ahlul-bait dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.” (Al-Ahzab :33)
    Alasan inilah yang menyebabkan ahlul-bait Rasulullah SAW tidak mengambil sedekah (zakat) semasa baginda masih hidup mahupun sesudah wafatnya.

    NASH KECINTAAN RASULULLAH SAW PADA AHLUL-BAIT BAGINDA DAN PESANAN AGAR UMAT ISLAM MENCINTAI MEREKA.

    `Ali RA menemui Rasulullah SAW yang telah menghampar selembar selimut, lalu baginda duduk atasnya bersama `Ali, Fatimah, Hassan dan Hussein. Kemudian baginda bersabda : “Ya Allah, ridhoilah mereka sebagaimana aku ridho kepada mereka.” Hadeeth riwayat At-Tarmizi bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Yang paling aku cintai di antara ahlul-baitku adalah Al-Hassan dan Al-Hussein.” Imam Muslim pernah meriwayatkan sebuah Hadeeth Rasulullah SAW mengenai Al-Hassan yang menyebut: “Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah dia, dan cintailah siapa yang mencintainya.”
    At-Thabarani dan lain-lain mengketengahkan sebuah Hadeeth yang bermaksud; “Belum sempurna keimanan seorang hamba Allah sebelum kecintaannya kepadaku melebihi kecintaannya kepada dirinya sendiri; sebelum kecintaannya kepada keturunanku melebihi kecintaannya kepada keturunannya sendiri; sebelum kecintaannya kepada ahli-baitku melebihi kecintaannya kepada keluarganya sendiri, dan sebelum kecintaannya kepada zatku melebihi kecintaannya kepada zatnya sendiri .”

    Diriwayatkan oleh Ahmad dan At-Tarmizi dari `Ali RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :”Barangsiapa mencintai kedua orang ini, yakni Hassan,Hussein dan ayah serta ibunya, maka ia bersama aku dalam darjatku di Hari Kiamat.” Ibnu `Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Cintailah Allah atas kenikmatan yang diberikanNya kepadamu sekelian dan cintailah aku dengan mencintai Allah dan cintailah ahlul-baitku kerana mencintaiku” Ad- Dailami meriwayatkan sebuah Hadeeth dari `Ali RA yang menyebut sabda Rasulullah SAW: “Di antara kalian yang paling mantap berjalan di atas sirath ialah yang paling besar kecintaannya kepada ahlul-baitku dan para sahabatku.”

    Dalil Hadeeth-Hadeeth di atas amat jelas dan nyata akan suruhan- suruhan dan pesananpesanan Rasulullah SAW agar umat Islam mencintai para ahlul-baitnya demi cinta dan ketaatan mereka pada baginda Rasulullah SAW sendiri.

    NASH MENGENAI KEUTAMAAN AHLUL-BAIT

    Diriwayatkan oleh At-Thabarani, bahawa Jabir RA mendengar `Umar ibnu Khattab RA berkata kepada orang ramai ketika mengahwini Ummu Kalthum binti `Ali bin Abu Thalib : “Tidakkah kalian mengucapkan selamat untukku? Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ` Semua sabab (kerabat) dan nasab (salasilah keturunan) akan terputus pada hari kiamat kelak kecuali kerabat dan nasabku’. “
    Hadeeth ini bermaksud bahawa dalam keadaan kekelamkabutan dan huru- hara yang berlaku pada Hari Kiamat kelak, yakni sebelum berlakunya proses penghisaban, semua manusia akan menjadi `nafsu-nafsi’, iaitu hanya tertumpu semata-mata memikirkan nasib dan keselamatan dirinya sahaja, tidak akan ada orang yang dapat memberi pertolongan kepada orang lain, baik keturunannya mahupun kerabatnya, kecuali Rasulullah SAW sendiri yang diberikan keistimewaan untuk menghulurkan pertolongan kepada nasab dan kerabat baginda yang beriman dengan Allah dan RasulNya, selain kepada umat baginda yang lainnya.

    Sebuah Hadeeth Thaqalain riwayat Zaid bin Al-Arqam RA menyebut : “Kutinggalkan di tengah kalian dua bekal. (Yang pertama): Kitabullah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang. Hendaklah kalian ambil dan berpegang teguh padanya.dan (kedua) :Ahli Baitku. Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku! Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku!”

    Dengan menyebut pesanan mengenai Ahli-Bait Nabi sebanyak dua kali, adalah sebagai suatu bentuk tekanan dan penegasan pada umat supaya perihatin terhadap apa yang menjadi hak dan kewajiban keturunan Rasulullah SAW. Imam Ahmad bin Hambal meriwayatkan dalam Hadeeth lain: “Apabila bintang-bintang lenyap, lenyaplah penghuni langit; dan apabila ahli-baitku lenyap, lenyap pula penghuni bumi.”

    Sebuah Hadeeth riwayat Al Hakim dan disahihkan oleh Bukhari & Muslim menyebut : “Bintang-bintang merupakan (sarana) keselamatan bagi penghuni bumi (yang sedang belayar) dari bahaya tenggelam/karam sedangkaan ahlul-baitku sarana keselamatan bagi umatku dari perselisihan (dalam agama). Bila ada satu kabilah Arab yang membelakangi ahlul-baitku, mereka akan berselisih kemudian menjadi kelompok Iblis.”

    Sebuah lagi Hadeeth Rasulullah SAW dari Abu Dzar menyatakan :” Ahlul- baitku di tengah kalian ibarat bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya ia selamat dan siapa yang ketinggalan ia binasa.” (HR Ahmad, Al-Hakim, ibnu Jarir dan At-Tabarani dalam kitab Al-Kabir) Abu Dzar Al- Ghiffari RA menuturkan bahawa ia mendengar sabdaan Rasulullah SAW :”"Jadikanlah ahlul-baitku bagi kalian sebagai kepala bagi jasad dan sebagai dua belah mata bagi kepala.”

    Tegasnya, keutamaan ahlul-bait Rasulullah SAW diperakukan dalam hukum syarak mengikut nash hadeeth-hadeeth mutawatir yang tidak harus menimbulkan sebarang kekeliruan ataupun perselisihan. Keutamaan ini diperkukuhkan oleh khabar yang sahih bahawa keturunan baginda, Al-Mahdi akan menjadi khalifah akhir zaman kepada umat Islam.

    Hadeeth riwayat Imam At-Tarmidzi, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Dunia tidak akan berakhir sehingga bangsa Arab dipimpin oleh seorang lelaki dari keluargaku yang namanya menyerupai namaku.” Dari Tufail dari `Ali RA Nabi SAW bersabda : ” Jika dunia ini hanya tinggal sehari sahaja nescaya Allah akan bangkitkan seorang lelaki dari keluargaku yang akan memenuhi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman.”

    NASH YANG MENYURUH UMAT ISLAM MENGHORMATI SERTA MEMBANTU AHLUL-BAIT

    Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menegaskan:”Orang yang terbaik di antara kalian ialah orang yang terbaik sikapnya terhadap keluargaku setelah aku tiada” Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan sebuah Hadeeth :” Empat golongan yang akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat: Orang yang menghormati keturunanku, orang yang memenuhi keperluan mereka, orang yang berusaha membantu urusan mereka pada saat diperlukan, dan orang yang mencintai mereka dengan hati dan lidahnya.”

    At-Thabarani pula mengketengahkan Hadeeth dari Abdullah ibnu `Umar RA yang mengatakan: “Allah SWT menetapkan tiga `hurumat’ (hal-hal yang wajib dihormati dan tidak boleh dilanggar). Barangsiapa menjaga baik-baik tiga `hurumat’ itu, Allah akan menjaga urusan agamanya dan keduniaannya. Dan barangsiapa tidak mengendahkannya, Allah tidak akan mengendahkan sesuatu baginya. Para sahabat bertanya: Apa tiga hurumat itu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Hurumatul Islam, hurumatku dan hurumat kerabatku.”

    NASH YANG MENYURUH UMAT ISLAM MENJAGA HUBUNGAN AHLUL-BAIT DAN MENGELAKKAN MEMBENCI MEREKA.

    Dari Abu Said Al-Khudri RA, katanya, telah bersabda Rasulullah SAW :”Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang tidak membenci kami, ahlulbait melainkan Allah akan memasukkan mereka ke dalam neraka.” (HR Al-Hakim) Ketika puteri Abu Jahal meninggalkan orang tuanya untuk berangkat hijrah ke Madinah, berkata beberapa orang Muslimin kepadanya : “Hijrahmu ke Madinah tiada gunanya, kerana orang tuamu pasti akan menjadi umpan neraka”. Ketika anak perempuan itu melaporkan cemuhan orang terhadap dirinya itu kepada Rasulullah SAW, baginda dengan nada gusar bersabda : ” Kenapa sampai ada orang yang mahu mengganggu diriku dengan mencerca nasab dan keturunan kerabatku? Sungguhlah, siapa yang mengganggu kerabat dan nasabku bererti ia menggangguku, dan siapa yang menggangguku ia mengganggu Allah.”

    At-Thabarani juga meriwayatkan Hadeeth dari Jabir ibnu Abdullah RA yang menceritakan beliau sendiri dengar dari Rasulullah SAW dalam suatu khutbah antara lain menyebut: ” Hai manusia, barangsiapa membenci kami, ahlul-bait, pada Hari Kiamat Allah akan menggiringnya sebagai orang Yahudi.” Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan dalam sebuah Hadeeth Marfu’, bahawasanya Rasulullah SWT telah menegaskan: “Siapa yang membenci ahlul-bait ia adalah seorang munafik.”

    Umat Islam harus mengambil pengajaran dari pesanan-pesanan baginda Rasulullah SAW dalam menjaga adab dan perhubungan dengan para ahlul- baitnya, serta memelihara diri dari bersikap negatif dan mengkhianati mereka. Dalam lain perkataan, hubungan dengan cucu cicit Rasulullah SAW perlu dipelihara dan diberi perhatian khusus kerana itu merupakan sebahagian dari ajaran agama Islam.

    Sumber Dari ASYRAAF dll.

    Thursday, September 20, 2012

    ANDAI DIA PERGI DULU

    ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU…


    Pandanglah wajah orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang. Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.
    Itulah detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan. Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti menggetirkan.
    Seorang isteri yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya. Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan – tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan. Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir.
    Kekadang masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan yang boleh panggil ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah… insan yang paling kita yakini sangat mencintai kita dan kasihnya yang tidak pernah berbelah, tetapi terpaksa berpisah! 
    Sekiranya saat ini kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya Aminah menyusul beberapa tahun kemudian.
    Tidak sempat bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.
    Kenangkan zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari makna kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak rela dia dengan maksiat dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran dan kebahagiaan… lalu dia menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu mengubat, jangan dijangkiti. Lalu baginda lari… menyendiri.
    Sejak baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah!  Itulah Khadijah kekasih Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.
    Namun tidak lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi.  Pergi ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku lagi. Abu Talib pula  pergi.  Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah.
    Tiada lagi perisai yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum Quraisy. Bila-bila masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah boleh menerjah. Jika dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan dorongan. Dengan kematian Abu Talib baginda kehilangan perlindungan. Tanpa dorongan, tanpa perlindungan, Rasul keseorangan untuk meneruskan perjuangan.
    Tidak cukup dengan itu, ketika Islam sudah bertapak di Madinah. Seorang ayah bernama Rasulullah, kehilangan  pula puteri-puteri kesayangannya Zainab, Ruqayyah dan Umi Khalsum… Subhanallah, tabahnya hatimu ya Rasulullah. Kematian demi kematian, tetapi kau terus hidup dengan hati yang berjuang. Seolah-olah kematian yang menyedihkan itu menjadi obor perjuanganmu menerangi hati umat yang mati ini!  
    Ya, saudara-saudaraku. untuk apa semua ini dilakukan oleh Allah yang Maha Kasih kepada kekasihNya Muhammad? Ya, jangan bergantung kepada selain-Nya. Hanya bergantung kepada-Nya. Lalu jika kau kini sedang diuji dengan kematian suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah. Mari kita hayati dan mengambil ibrah dari setiap episod kematian yang telah dilaluinya.
    Jika kita kematian ayah, ibu, datuk, isteri, ayah saudara, anak dan sahabat… kita kenangilah hidup Rasullullah yang telah melalui segaladan semua itu. Hinggalah di saat akhir ketika baginda pula yang dipanggil  pergi, ketika Siti Aishah, Fatimah, Ali dan lain-lain saudara serta sahabatnya berada di sisi, baginda sudah bersedia, mehnah Allah sudah sampai ke kemuncak… baginda pula yang akan pergi.  
    Baginda sangat mencintai semua yang bakal ditinggalkan, tetapi baginda lebih cinta kepada Allah yang bakal ditemuinya. Lalu mulut baginda hanya mengucapkan, “rafiqil a’la. rafiqil a’la… teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi (Allah). ” Ya, baginda sudah pasrah meninggalkan cinta daerah rendah… untuk terbang ke syurgawi, menemui cintanya di daerah tinggi!
    Jesteru...................
    Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!
    Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?
    Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya..
    Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!
    Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.
    Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.   Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.
    Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.
    Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.
    Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti khadijah… Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!
    Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.
    Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di Karbala.  
    Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan… ketika itulah baginda menyebut, “rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!”
    Dalam “kamus” kehidupan  para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa. 
    Namun begitu,  di saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita… umat yang akan ditinggalkannya.
    Semua orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.
    Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan  oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:
    “Aku telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?” Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: “Mengapa engkau tidak kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: “Mengapa ada pula barang ini?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah baiknya kalau barang itu ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!”
    Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu tepat dan padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!”

    GENTA RASA…