Friday, January 15, 2010

PUTERI MAHSURI.

MAHSURI / Pulau Langkawi (bab 2)

Al Kesah........PUTERI MAHSURI.

7 Ogos, 1621 AD seorang warga Peranchis pernah mendarat di Langkawi.Beliau telah merakamkan cerita-cerita perihal Mahsuri dan lain-lain di dalam buku notanya. Menurut catatannya:

Dato Seri Kerma Jaya adalah gelaran pembesar negeri di ketika itu. Dalam tahun 1624 Ad, Sultan Sulaiman Syah ke 2 adalah Sultan yamg memerintah Kedah berpusat di kota Si Putih.Dato Seri Kerma Jaya diutuskan mewakili Baginda menjaga kepulauan Langkawi dan persisiran Kedah dari ancaman dan serangan Sultan Iskandar Mahkota Alam dari Aceh dan Siam.
Dato Seri Kerma Jaya dibantu oleh seorang panglima yang bernama Panglima Hitam. Makam Panglima Hitam ada terdapat di Pulau Tuba.
Dan dari Dato Kerma Jaya ini lah bermulanya kesah..... Mahsuri.......

Diceritakan didalam sebuah kampung yang bernama Mawat, tinggal sepasang suami isteri bernama Pandak Mayah dan Cik Alang. Mereka ini berasal dari Siam dan telah berhijrah ke Langkawi.
Pasangan ini hidup aman dan damai, amat baik terhadap masyarakat sekeliling tetapi malang nya masih tidak dikurniakan zuriat. Tahun berganti tahun, pada suatu hari, Pandak Mayah ke hutan mencari kayu api dan beliau terdengar tangisan bayi. Dia mencari-cari bayi yang menangis itu, tetapi yang dijumpainya adalah sekeping kerak nasi yang mengeluarkan bunyi tangisan bayi. Kerak nasi itu dibawa pulang dan diserahkan kepada Cik Alang. Pada malamnya Cik Alang bermimpi agar mencampurkan kerak itu bersama beras yang ditanak menjadi nasi.Maka setiap kali beliau menanak nasi, dimasukkannyalah kepingan kerak nasi itu bersama.

Ditakdirkan Allah, setelah sekian lama menunggu, Cik Alang pun hamil dan genap sembilan bulan sepuluh hari ,lahirlah seorang bayi yang amat cantik dan comel diberi nama Mahsuri, timang-timangannya Che Siti.
Bermula dari kelahiran Mahsuri, kehidupan Pandak Mayah suami isteri bertambah mewah.Pandak Mayah telah terjumpa sarang burung dan batu kemian di sebuah gua dan hasil penjualan barang-barang ini, beliau bertambah kaya dan senang.

Mahsuri membesar dengan kejelitaannya yang menyerlah.Kulit nya putih gebu, pipinya umpama pauh dilayang, mukanya bujur sirih dan hidungnya mancung umpama seludang.Akhlaknya amat terpuji, sopan dan berbudi.Amat gah lah di serata tempat orang memuji dan pada suatu hari Dato Kerma Jaya telah meminang Mahsuri untuk adiknya Panglima Wan Darus.Pinangan diterima dan perkahwinan ini disambut dengan kegembiraan, pujian yang teramat sangat oleh orang kampung.Pasangan ini hidup bahagia, saling sayang menyayangi.

Di waktu Siam melanggar Kedah, panglima Wan Darus diutuskan menentangi musuh di perairan dan tinggallah Mahsuri yang pada ketika itu sedang berbadan dua.Genap masa dan ketikanya, Mahsuri pun melahirkan seorang anak.
Sepeninggalan Wan Darus, Dato Kerma Jaya amat mengambil berat akan hal adik ipar dan anak saudaranya itu.Beliau sentiasa menjaga keperluan mereka berdua.Perlakuan ini telah menimbulkan rasa cemburu di hati isterinya Mahora.
Mahora juga seorang wanita yang cantik jelita tetapi beliau tidak dapat menandingi kecantikan dan keayuan Mahsuri.Hari demi hari beliau memendam rasa cemburu, prasangka dan hilang rasa kesihan terhadap Mahsuri .

Pada suatu hari datanglah seorang pedagang yang berasal dari Batu Bahara, Sumatera, ke Langkawi.Derambang namanya. Beliau mengambil upah membajak sawah, berniaga dan bekerja dengan Dato Kerma Jaya. dan kerana kerajinannya Dato Kerma Jaya telah mengambilnya sebagai anak angkat. Derambang seorang yang pandai berdendang, bersajak dan bersyair.

Pada suatu petang di luar kawasan rumah, Mahsuri sedang mendodoikan anaknya di atas buaian. Anak kecil itu menangis tanpa henti dan tangisan bayi itu telah menarik perhatian Derambang yang kebetulan sedang berjalan pulang . Tanpa diundang, Derambang terus berdendang.Didendangkannya Syair Seri Banian/ Selendang Delima ditelinga bayi itu dan secara tiba-tiba bayi itu berhenti menangis dan mendengar syair itu seolah-olah dia faham akan isi ceritanya.
Mahsuri berasa sungguh gembira dan dihari berikutnya Derambang sering mendodoikan bayi Mahsuri dengan syair Selendang Delima.

Dihari Derambang hendak meninggalkan Langkawi dan meneruskan perjalanannya, pedagang muda ini telah menghadiahkan sehelai selendang bernama 'Delima Abang Sayang' untuk anak Mahsuri, kerana beliau berasasangat sayang kepada bayi kecil itu.Mahsuri pula sebagai tanda penghargaan telah menghadiahkan Derambang sehelai kain Cindai, kenangan dari penduduk Langkawi, kata Mahsuri.Tetapi, pemberian ini telah disalah tafsirkan oleh pemuda-pemuda yang pernah jatuh hati dan mendendami Mahsuri.Aria terutamanya amat mendendami keluarga Mahsuri. Mereka terus menabur fitnah dan berjaya mempengaruhi Pak Serot (ketua kampung) dan Mahora. Mahora yang sememangnya cemburukan Mahsuri telah mempengaruhi Dato Kerma Jaya hingga hilanglah pertimbangannya. Mahsuri dan Derambang difitnah bermukah dan dijatuhkan hukuman sula sampai mati.
Derambang dan Mahsuri merayu dan memohon belas kasihan Dato Kerma Jaya , tetapi tidak berjaya membuktikan kebenaran mereka.Derambang dapat melepaskan dirinya dan lari meninggalkan Langkawi tetapi Mahsuri diheret ke Pengkalan.
Hukuman dijalankan tanpa memperdulikan rayuan ayah dan bonda Mahsuri. Orang kampung pun cuba merayu, memohon belas kesihan bagi pihak Mahsuri , namun segalanya sia-sia belaka.

Mahsuri diikat disebatang pokok, dan keris Dato Kerma Jaya telah di gunakan oleh Aria untuk menikam Mahsuri. Tikaman demi tikaman, namun Mahsuri masih bertahan, jasadnya tidak lut di lukai.
Akhirnya Mahsuri membuka rahsia diri. Hanya keris pusaka yang tersimpan di rumah ayahandanya yang dapat menembusi jasadnya. Keris itu pun dirampas dari simpanan Pandak Mayah dan dengan sekali tusuk di susuk kiri Mahsuri, Mahsuri pun menghembuskan hayatnya yang terakhir. Di waktu ini turun lah kilat sabung menyabung dan dari tubuh Mahsuri mengalir darah yang berwarna putih.Suatu petanda kebenaran.. akan kesucian dan kesetiaan seorang isteri .Darahnya mengalir tanpa warna...Bidok berbunyi menandakan masuknya waktu Marghrib,jasad Mahsuri terkulai layu.Tiada lagi air mata, tiada lagi pengharapan....segalanya telah berlalu...sepi...

Melihatkan petanda darah putih itu,timbullah rasa takut dan menyesal di hati Dato Kerma Jaya, namun semuanya telah terlanjur, nasi sudah menjadi bubur....

Sekembalinya Wan Darus dari berjuang beliau telah dimaklumkan hal kematian isterinya. Wan Darus tidak percaya akan tuduhan yang dilemparkan terhadap isterinya.Dia tahu Mahsuri amat mencintainya, setia dan taat kepadanya. Masakan Mahsuri yang alim dan berbudi itu sanggup melakukan dosa terhadap Allah Yang Maha Esa.
Dengan kesedihan yang amat sangat, diambilnya anaknya dari jagaan ayah mertuanya, dia mahu terus berlayar jauh dari Langkawi, jauh dari kesedihan hati...
Tetapi sebelum melangkah pergi, Wan Darus bersumpah, memohon keadilan Ilahi, katanya, demi kesucian Isteri ku, Langkawi akan menjadi Padang Jarak Padang Terkukur, Tidak Berpenghuni selama Tujuh Keturunan Ku.

Selepas kejadian itu, Siam berjaya menaklukki Langkawi. Langkawi diserang, segalanya musnah sekelip mata, kebakaran berlaku di sana sini, habis harta dan sawah hancur umpama di langgar garuda. Dato Kerma Jaya dan Panglima Hitam tewas dan di bunuh.Mahora di tawan, diperkosa dan akhirnya dibunuh.
Musnahlah Langkawi, umpama musnahnya harapan Wan Darus, Pandak Mayah dan Cik Alang.

Semoga Allah SWT mencucuri RahmatNya kepada Mahsuri........


Makam Puteri Mahsuri di Langkawi.(kira-kira 12km dari Pekan Kuah)



Keris

Keris yang digunakan untuk membunuh Mahsuri. (Wallahu'alam)



Telaga Mahsuri. (airnya masih ada hingga ke hari ini)

No comments:

Post a Comment