Friday, January 29, 2010

Syair Puteri Siti Zubaidah

Baik parasnya bukan kepalang
Tubuhnya seperti emas cemerlang
Cahaya tubuhnya gilang-gemilang
Jika ditentang bagaikan hilang

Lemah lembut manis berseri
Cantiknya tidak lagi terperi
Parasnya umpama puteri bidadari
Tiada bandingan di dalam negeri

Bertambahlah arif bijak laksana
Bijak bestari akal sempurna
Sifatnya lengkap tujuh laksana
Tiada berbanding barang di mana

Jikalau dicari dengan makrifat
Cukup kepadanya serba empat
Habis kepada sempurna sifat
Bandingnya itu sukar mendapat

Rambutnya panjang mengurai ikalnya
Kening beralit dengan hitamnya
mata bersinar memancar cahaya
Alisnya lentik idaman semua

Hidungnya mancung lehernya jinjang
Pinggangnya ramping dadanya bidang
Loknya elok sederhana sedang
Sedap manis mata memandang

Puteri Zubaidah gelar namanya
Padanlah nama dengan rupanya
Di negeri Irak sangat mashurnya
Seorang pun tiada tolok bandingnya

Puteri Zubaidah Puteri beriman
Pandai mengaji mentajwid Quran
Silat dan tari jadi amalan
Amat sempurna peroleh didikan.

Parasnya cantik suaranya merdu
Beralaun lunak bersama bayu
Sentiasa mengaji mendayu-dayu
Hati yang mendengar menjadi syahdu.

No comments:

Post a Comment